Jumaat, 27 Januari 2012

Cinta Mu'tah; Episode Keempat


Salju terjun lagi
Dari awang-awangan nan tinggi
Jatuh di atas bumi cinta
Hinggap di atas bumi Mu’tah.

Ketika mawar cinta begitu dahaga
Akan siraman nyaman tapi bertenaga
Oleh seorang puteri dari Sarang Semut
Hanya sahaja ia manusia; bukan seekor semut!

Kapas-kapas salju itu
Tidak selalu turun begitu
Duga kalbu apakah ini petanda
Bahawa ombak rindu itu akan melanda?

Mawar cintaku pun ligat memekar
Di sebalik cita menjadi pendekar terdakar
Hati mengacan sebuah balaisah bahagia
Di dalam kota iffah bersemadi dalam cahaya.

Kali ini salju membawa cinta
Dan kali ini juga salji membawa dusta
Nah sangkaku lebat hingga ke petang
Rupanya cerah di tengah siang.

Esok aku tidak akan mudah percaya
Takkan mudah lagi untuk diperdaya
Dengan kilau gemerlap sang adiratna
Di tanah Mu’tah bertuah ini, di mana-mana.

Ibnu Anas al-Kutawi,
Mu’tah, al-Karak, Jordan,
4 Rabiulawal 1432 Hijrah.

Rabu, 28 Disember 2011

Ralat Dari Hati Kecil Kami

Hadis yang dikemukakan dalam buku Dari Hati Kecil Kami yang berbunyi:
المرأة عورة فإذا خرجت استشرفها الشيطان
adalah tidak sahih. Ini adalah pendapat saya selaku penulis selepas melakukan kajian dan penyelidikan mengenai hadis tersebut. Pendapat ini walaupun menyalahi jumhur ulama hadis lebih kuat berdasarkan kaedah-kaedah usul hadis sendiri. Namun begitu, kata-kata ini sahih daripada Ibnu Mas'ud radhiyallahu'anhu.

Selasa, 8 November 2011

Mencari Pipi untuk Dikucup

Aku tidak tahan
Melihat pipi-pipi yang menyerlah
Melihat bibir-bibir yang memerah
Aku ingin mengucupnya;
Dan aku ingin menutupnya
Dengan tirai purdah
Yang semakin memupus
Yang semakin terlupus
Kerana fatwa-fatwa baharu
Fatwa moden dan kontemporari
Pembebasan wanita!

Tetapi aku tidak ada kuasa
Untuk menyuruh atau memaksa
Seorang puteri menutup pipi
Kecuali ia sendiri yang sudi
Menjadi permaisuri hidup ini.

Rabu, 19 Oktober 2011

Kuala Lumpur


Aku sekarang di Kuala Lumpur
Tanya hatiku mengapa namanya Kuala Lumpur
Padahal jalan-jalan rayanya bersih tidak ada lumpur
Aku hairan
Bingung.

Aku pun naik kereta api canggih di Ampang Jaya
Berhenti di Masjid Jamek untuk sembahyang seketika
Kemudian masuk pula ke Pasar Seni lihat apa yang ada
Berjalan pula ke Sogo dan Pertama Park di Bandaraya
Cukup, aku dapat jawapannya!

Tidak akan dipanggil Kuala Lumpur melainkan kerana lumpurnya
Bukan lumpur yang berwarna coklat tetapi lumpur yang hitam warnanya
Lumpur noda yang melekat pada hati-hati manusia
Lumpur yang terlumur pada aurat yang terbuka
Lumpur yang bertempek pada mata
Yang membuatnya buta
Buta dosa buta pahala.

Isnin, 12 September 2011

Apabila Ustaz Jatuh Cinta

Apabila seorang ustaz jatuh cinta pasti hatinya akan berdegup-degup kencang. Tidak mudah bagi seorang ustaz untuk mencintai seseorang. Pasti ciri-ciri Muslimah yang dicintainya itu memenuhi ciri-ciri Muslimah solehah. Hati seorang ustaz kali ini berdebar-debar. Ia baru sahaja jatuh hati. Ah, jatuh cinta!

Cinta mula menguasai diriku. Aku tidak bisa bergerak lagi melainkan cinta itu bersamaku. Tidak pernah meninggalkanku. Tetap bersama ke mana-mana sahaja. Ke dalam masjid, kuliah, tandas! Tidak. Aku tidak boleh dikuasai cinta sebegini. Tapi, apakan daya, aku manusia. Cinta adalah fitrah.

Sang ustaz itu kepeningan. Kebingungan. Dia dirasuk cinta. Cinta pada seorang puteri. Cantik amat pada pandangan matanya. Kalahlah segala artis Bolywood mahupun Holywood. Puteri itu tidak memakai bikini atau baju adiknya tetapi kejelitaannya membuatkan ustaz itu tidak dapat duduk diam. Dia mengeluh panjang. Beberapa kali dalam hidupnya menghadapi saat-saat sebegini. Kali ini nampaknya lebih hebat. Ditambah lagi dengan gayanya. Gaya bercakap. Gaya berjalan. Gaya menulis. Menyesal ustaz mengikuti forum pada hari itu yang membuatnya makin mengenali sang ustazah itu. Menyesal. Tak kenal maka tak cinta. Tak cinta maka tak menderita!!

Adakah aku perlu meminangnya dalam masa terdekat. Ah, karut. Bagaimana mungkin aku dapat melakukannya. Malu! Tidak, tidak tidak! Aku tidak akan melakukannya!! Tetapi, bagaimana aku dapat padamkan marak api cinta dalam dadaku? Puasa? Sekarang pun aku sedang berpuasa tetapi cinta itu tidak juga hilang. Wajahnya, gayanya, dan namanya memenuhi kamar hidupku. Di atas dia. Di bawah dia. Di depan dia. Di belakang dia!

Ustaz itu kalut. Dia tahu seorang Mukmin itu harus lebih cintakan Tuhan daripada seorang manusia. Dia takut kalau-kalau cintanya akan sang bidadari itu melebihi cintanya akan Tuhannya. Dia rasa dia perlu mendapatkan gadis tadi. Agar dengan memegangnya, hangat cinta dalam jiwanya menyejuk dan digantikan dengan cinta Tuhan.

Ustazah tadi aneh. Sama seperti sahabat-sahabatnya. Awal-awal lagi menulis 'tidak akan melayan mana-mana mesej lelaki dalam Facebook mahupun Yahoo Messenger kecuali yang amat-amat mustahak'. Bagaimana bisa aku mendekatinya dan melantunkan lamaranku? Adakah aku perlu meminta khidmat orang tengah? Atau masuk ke bilik persatuan dan mencari-cari borang peribadinya lalu mendapatkan nombor telefon ayahanda dan bondanya kemudian meluahkan hasratku untuk menyunting anaknya?

Dia malu. Malu untuk meluahkan perasaannya kepada sesiapa. Sahabat. Keluarga. Tidak! Malu. Dia malu sekali. Tetapi dia mahu. Dalam masa yang sama ia gerun. Takut. Banyak kawannya yang kecewa apabila pinangannya ditolak. Mahal sungguh Muslimah solehah pada hari ini. Dia merenung jauh. Dia tidak tahu apa yang patut dilakukannya. Serba salah. Yang pastinya dia tidak akan sekali-kali berkasih-kasihan dengan si solehah tadi. Sama ada diam atau kahwin. Mustahil untuk diam. Mustahil juga untuk kahwin. Yang harusnya menderita. Berapa lama? Allahlah yang menentukan.

Dari kejauhan, tidak lebih dari seribu langkah dari rumah si ustaz, si ustazah mengukir sabda:


Untaian tasbih seakan menari-nari,

Di celahan jari-jemari,

Mengalun nyanyian zikir,

Mengingati Rabbi.

Dimensi pentas duniawi yang kosong,

Hanya membawa aku menerobos angan-angan palsu,

Perlukah aku khabarkan kepada alam,

Bahawa hatiku milik Tuhan?

Dustakah aku jika aku meletakkan cintaku hanya untuk-NYA?

Biar iman berbicara,

Menjadi tanda sebuah cerita.

Sedang ustaz cuba merenung masa hadapannya. Masih kabur.

Isnin, 5 September 2011

Mengheret Tubuh

Aku tidak sebaik yang kauimpikan,
Tidak setampan yang kaumimpikan,
Tidak sejujur yang kaupinta,
Tidak sesetia yang kauminta.

Aku tidak sanggup
membuat hatimu luka,
Hidup bersama-samaku
tidak seindah yang kausangka.

Dari sana kuheret tubuhku,
Jauh berbatu-batu kularikan diriku,
Ayat-ayat cintaku pun membeku,
Bait-bait kasihku menjadi kaku.

Biarlah engkau dikurnia-Nya teman,
Sebaik-baik suami tegap rupawan,
Diulit alunan ayat-ayat suci Tuhan,
Dididiknya iman, Islam, dan ihsan,
Bersemarak kasih kalian menuju belas kasih-Nya!

Ahad, 28 Ogos 2011

Dilema Wanita

Lihatlah panorama dunia
Wanita bagaikan hilang rasa malunya
Maruah yang menjadi maharnya
Tergadai sia bagai tiada berharga

Di manakah budinya di manakah akhlaknya
Sungguh pilu dan sayu mengenangkannya
Santun tiada lagi nafsu memimpin hati
Kehormatan diri tidak dipeduli

c/o
Oh wanita kembali menginsafi
Kepada asal fitrah kejadianmu
Diciptakan untuk dihormati
Sentiasa diredhai Tuhan Pencipta
Kembali kepadanya juga pada Rasulnya
Pasti dihadirkan taufik dan hidayahnya
Wanita...

Kembalilah ke arah kemuliaan
Contohi peribadi Ummul Mukminin
Rasulullah dijadikan suami
Tertawan kerna keluhuran pekerti
Bukan kerana harta bukan kerana nama
Tapi kerana budi yang disanjungi
Kembalilah...

Wanita perhiasan dunia
Bagai kilau permata di antara kaca
Sayangnya makin pudar cahaya
Hingga tiada lagi beza di antaranya

[Hijjaz dalam Pelita Hidup IV]

Catatan: lagu nyanyian kumpulan Hijjaz ini benar-benar menginsafkan bagi sesiapa yang mempunyai hati. Ya, yang hanya mempunyai hati. Dan, pastikan hati tersebut tidak mati. Jika mati, langsung tiada erti.